3 Anak, 3 Cara Kelahiran.

3 buah hati pengarang jantung

Apabila terpandang wajah baby, mesti terbayang pengalaman bersalinkan dia yang sangat menakutkan dan mendebarkan pada bagi saya. 

Januari 2016. Saya mula rasa tak sedap badan. Rasa tak puas bernafas. Saya cek tekanan darah, normal. Jenuh berfikir apa yang tak kena. Akhir sekali saya bersembang dengan seorang doktor yang agak friendly dengan saya sebab kami jaga unit yang sama. Dia kata saya mengandung. Saya nafikan, tak mungkin saya kata. Dia terus berikan saya borang dan suruh saya ke makmal untuk ujian pengesahan.

Nah, terbukti memang sah saya mengandung. Balik ke tempat duduk saya di ofis, saya termenung. Tanpa saya sedar mengalir air mata. Saya terfikirkan anak nombor 2 baru setahun setengah. Belum puas saya bermanja dengan sepasang cahaya mata, lepas ni mereka akan berkongsi 3 kasih sayang kami. Tapi, mujur saya cepat2 sedar. Kenapa perlu persoalkan semua tu, kenapa perlu risau? Allah dah atur elok dah, semuanya dah tertulis. Baik dari segi rezeki ke, urusan masa ke, semuanya dah diaturkan. Maka kita kena redha dan 'move on'.

38 minggu berlalu.
31 Ogos pun dah lepas.
1 Sept 2016, tengah2 malam buta saya mula rasa ada contraction, kuat dan selang masa lebih kurang 15 minit. Saya 'observe', tengok makin kerap ke makin kurang. Tengok2, makin kurang kerap sakit tu datang. Dah kenapa pula, sebab sepatutnya sakit tu makin kerap. Sampailah ke Subuh, tengahari dan bila petang, sakit makin kuat balik. Ramai yang nasihatkan supaya ke hospital. Jadi, saya terus bersiap ke hospital dan rupa-rupanya jalan memang dah terbuka sebanyak 3cm. Seterusnya, 'warded' sehingga sakit makin lagi kerap. 

Setiap saat, minit, jam yang berlalu tu rasa lamanya. Lama sebab penat menahan sakit, menunggu bila baby nak keluar ni. Kali pertama saya panggil nurse saya bagitahu saya tak tahan sakit makin kuat walaupun kekerapan tu kejap makin cepat kejap perlahan. Masa tu pukul 10, tetap 3cm. Rehat di katil lagi. 

Pukul 2 pagi saya tekan lagi loceng dan bagitahu nurse saya memang tak tahan sangat bila sakit tu datang. Ok, dah boleh masuk 'labor room' sebab jalan dah buka 4 cm. Ya ampun, baru 4cm dengan sakit macam ni. Takpelah, di 'labor room' nanti kita ikhtiar lagi cara lain bagi cepatkan lagi proses bersalin. Air ketuban dipecahkan siap2. Habis basah lencun, setiap jalan saya lalu, saya akan tinggalkan 'jejak'. Alhamdulillah suami masih di sisi sejak dari saya dimasukkan ke wad.

Saya "berehat" di 'labor room' pula. Masa ni sakit dia lagilah. Sukar nak digambarkan. Buat teknik pernafasan, segala mak nenek buat dan baca. Tiba-tiba 'nurse' tawarkan saya 'epidural'. Apalagi, ibarat orang lapar kebulur dihulur nasi jadinya. Tapi, malangnya saya terpaksa di'induce' juga sebab 'contraction' saya tak kuat. Allahu, Tuhan saja yang tahu perasaan dalam hati masa tu. Itu sebabnya bila dikenang memang seriau.

Selesai pasang epidural dengan wayar berselirat, suami saya terpaksa ke stesen bas TBS sebab umi saya dari kampung telah pun sampai. Berehatlah saya sekejap. Kebetulan, lepas suami saya sampai ke hospital balik, dah sampai tempat saya di labor room, dah Subuh pun masa tu, dapat rasa 'contraction' tapi tidak sakit. Doktor kata, 'it's the time'. 

Alhamdulillah, setiap kali teran tu boleh rasa pergerakan 'baby' yang sikit demi sikit keluar. Mentang-mentang tak sakit saya teran sekuat hati dan proses kelahiran tu rasa mudah je. Bersalin banyak kali pun takpe (ye ker???) 

Dugaan saya bermula selepas 'baby' keluar. Saya dengar perbualan antara doktor dan 'nurse' kata 'the tear is actively bleeding'. Katanya juga bila tekap pun darah tak berhenti mengalir. Cepat-cepat doktor tu hubungi doktor yang lebih senior dan tak sampai 5 minit dia sampai walaupun masa dia dipanggil tu tengah gosok gigi. (yela masa tu 6 pagi...)

Keadaan kembali tenang, uri dah selamat dikeluarkan, 'tear' semua dah siap jahit, saya dan 'baby' dah dibersihkan, saya pun rehat. 

Saya terlena. 

Tiba-tiba kecoh bila ada seorang doktor jerit, "cepat2, the BP is getting low". Bacaan pada masa tu 70/30 dan saya sendiri tak mampu nak buka mata dan badan terasa lemah sangat. Bilik sempit dikelilingi entah berapa orang doktor saya memang tak terfikir langsung nak kira. Dari Professor sehingga houseman semua ada. Ada yang tukang bagi arahan, ada yang berbincang, ada yang keluar masuk bilik. Kiri kanan tangan kena cucuk. Masuk air apa saya memang dah tak ingat, masuk darah O 1 beg tak pasti berapa isipadu.

Sebab masa tu saya hanya mengucap kalimah syahadah dan berdoa supaya dipanjangkan umur supaya tak nak anak2 dan suami sedih. Saya hanya fikirkan mereka kerana mereka adalah nyawa saya. Mata saya pejam tapi otak dan hati saya tidak pejam, sedang cuba kuatkan diri untuk lawan rasa lemah. 

Lepas siap darah dimasukkan, barulah saya rasa lebih lega dan doktor bagitahu saya, tadi muka saya putih tiada darah langsung. Sebelum bersalin, bacaan Hb saya 13. Selepas kejadian ini, Hb saya 'drop' kepada 6. Memandangkan keadaan saya dah agak stabil, saya dipindahkan ke wad HDU untuk pemantauan. Yang menyedihkan adalah apabila 'nurse' datang bertanyakan tentang susu anak. Saya menangis dalam hati sebab belum boleh dibenarkan susukan anak sehingga saya betul2 stabil.

Suami saya telah balik ke rumah uruskan anak2 dan uruskan uri. Sebaik keluar dari 'labor room', ternampak wajah seorang ibu, setia menanti saya di luar sebab tidak dibenarkan masuk langsung. Hanya suami dibenarkan masuk. Sedih wooo tengok muka ibu kita, wajah sugul dia, yang ternanti-nanti, tertanya-tanya kenapa dari 6.51 pagi sejak bersalin, pukul 9 baru keluar 'labor room'. Masa tu umi saya hanya tahu saya alami pendarahan. 

Saya ditolak dengan katil ke HDU. Umi berjalan jauh tertinggal di belakang dan lagi sekali dia tak dapat masuk dalam tu. Tapi, lepas saya dah selesai urusan masuk wad HDU tu, umi dapat masuk tengok saya. Menangis dia tengok keadaan saya. Dengan muka pucat kuning, wayar oksigen berselirat, mesin kiri kanan berbunyi tet tet tet...

Saya hanya mampu berkata, "umi janganlah sedih. org ok je ni. tuhan nak bagi ujian mcm ni. kita kena terima". lagila dia nangis. hehe...


Di wad HDU 

Mujurlah semalaman sahaja saya di HDU. Petang keesokannya dipindahkan ke wad biasa namun masih dalam pengawasan khas. Petang tu juga kali pertama dapat susukan 'baby', dapat betul2 peluk dan cium dia, dapat perhatikan satu persatu kening, mata, bulu mata, hidung dan mulut dia. Nikmat sungguh.


Kakak seronok dapat adik

4 hari 3 malam saya menginap di wad bersalin PPUKM. Pengalaman yang sukar dilupakan. Memang takkan lupalah.

Anak pertama bersalin normal.
Anak kedua bersalin secara pembedahan 'ceaser'.
Anak ketiga bersalin normal 'plus epidural & induce'.

3 anak, 3 cara kelahiran.


Hari pertama di rumah.

Terima kasih sudi singgah dan membaca kisah saya. Lain orang lain pengalaman. Berat macamana pun ujian Allah SWT bagi, kita kena redha.

Assalamualaikum.. :)
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Catat Ulasan