Demam Denggi_isu semasa

Demam yang berlarutan, sakit-sakit sendi, bintik-bintik merah pada badan, sakit kepala, muntah, cirit-birit adalah sebahagian tanda dan gejala demam denggi. Namun, tidak semua orang akan alami semua tanda dan gejala di atas. 

Demam denggi berpunca dari virus denggi yang dibawa oleh nyamuk Aedes. Terdapat 2 spesis nyamuk Aedes iaitu Aedes albopyctus dan Aedes aegypti. Kedua-dua spesis nyamuk ini membiak di dalam air bertakung walaupun air hanyalah setebal duit syiling 50sen. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk memastikan tiada sebarang takungan air di dalam atau luar rumah. 

Aedes albopyctus membiak di luar rumah seperti di celah daun-daun pokok, di celah kelopak bunga, tayar buruk, bekas makanan polistirena pada timbunan sampah, termasuklah lopak-lopak air di atas tanah atau lantai.

Aedes aegypti pula membiak di dalam rumah biasanya dalam pasu bunga, bekas alas kaki meja, flush cistern yang rosak dan terbuka, bekas takungan air, di atas penutup bekas simpanan air. Selalunya, tempat-tempat pembiakan yang dijumpai adalah tempat yang tidak disangka-sangka nyamuk akan membiak. Seeloknya sebelum meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama seperti balik kampung, pastikan di dalam rumah tiada air yang bertakung. Ini kerana seekor nyamuk hanya ambil masa seminggu untuk membiak. Kitaran hidup nyamuk dari telur, larva, pupa dan seterusnya menjadi nyamuk hanya ambil masa 7 hari. 

Telur, larva dan pupa tidak akan mati walaupun setelah dibuat semburan (fogging). Itu sebabnya, masyarakat digesa agar tidak memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit ini. Fogging yang dijalankan oleh kakitangan Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Bawaan Vektor (UKPBV), hanyalah membunuh nyamuk dewasa yang berkemungkinan besar sedang membawa virus demam denggi. Akan tetapi, terdapat segelintir masyarakat menyalahkan pihak kesihatan kerana tidak datang membuat semburan fogging di kawasan lokaliti mereka.

Semburan fogging dilakukan adalah bertujuan untuk membunuh nyamuk dewasa sahaja. Telur, larva mahupun pupa tidak akan terjejas dengan racun yang terkandung di dalam asap tersebut. Itulah sebabnya kita sering diingatkan untuk memastikan tiada sebarang takungan air di dalam atau luar rumah. Semburan fogging hanya akan dilakukan di kawasan lokaliti tertentu setelah UKPBV menerima notifikasi dari mana-mana hospital atau klinik tentang wujudnya kes yang disyaki demam denggi. Hanya 200meter radius kawasan tersebut sahaja akan dibuat semburan fogging. Oleh itu, tanggungjawab untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes terletak pada bahu kita sendiri.

Demam denggi tiada ubatnya. Rawatan yang diberi hanyalah untuk menghentikan tanda dan gejala yang ada. Contohnya jika pesakit mengalami sakit kepala, hanya ubat tahan sakit kepala diberikan. Sebab itulah sangat penting pencegahan demam denggi.

Lokaliti yang disyaki ada jangkitan demam denggi, selain dibuat semburan fogging, ia juga akan dibuat satu pemeriksaan yang dilakukan dari setiap premis ke setiap premis. Bermula dari rumah pesakit hinggalah ke tempat kerja pesakit atau sekolah. Mana-mana premis yang didapati ada pembiakan Aedes akan dikenakan kompaun sebanyak RM500.00 kerana kesalahan memberi perlindungan kepada serangga pembawa penyakit. Jika orang kena kompaun gagal membuat bayaran, kes akan dibawa ke mahkamah.

Sehingga tahap ini tindakan dibuat untuk menangani demam denggi. Demam denggi boleh membawa maut tetapi masih belum dijumpai penawarnya. Oleh itu, mencegah lebih baik dari mengubati. Luangkan masa sekali sahaja seminggu untuk membersihkan rumah dan halaman rumah dan memastikan tiada takungan air demi menyelamatkan nyawa anda dan yang tersayang. Jika ada ahli keluarga yang demam, dapatkan rawatan segera kerana demam ibarat penggera kepada tubuh manusia untuk menyatakan, ada suatu yang tidak kena, ada virus di dalam tubuh. Satu tindakan anda mampu menyelamatkan beratus nyawa di luar sana.

TIADA AEDES, TIADA DENGGI.
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.

0 comments:

Catat Ulasan